Sunday, 6 October 2013

Dilema Mangga ;)

Detik 03112013 :)
Aku masih di sini cuma agak "relax di opis GLC" untuk perbincangan beberapa projek Pembangunan Insan di Wilayah Utara Malaysia. Hari ini semuanya berjalan lancar demi menambah nilai untuk anak bangsa agama dan negara. Pada kesempatan yang ada aku sempat singgah di kampungku, Kampung Pida Tunjang, Kedah. Sepanjang perjalanan yang dikelilingi "bendang" rasa seronok tengok "pokok beras" yang sedang menguning dan sedang 'diangkut' oleh mesin padi yang rata-ratanya dikuasai oleh usahawan melayu. (Nati aku ceritakan bagaimana lahirnya Jutawan Padi pertama di kampungku)

Sedang aku terleka melihat mesin padi yang menderum macam guruh, tetiba aku teringat kisah yang diceritakan oleh Tok Medah (Tok Guru yang mengajar mengaji Quran semasa aku berumur 7 tahun). Rotan tak pernah 'lekang' dari tangannya... dengar dia berjalan sahaja, semua yang ada atas madrasah terus membaca dengan suara yang kuat.., tapi betul atau tidak tu aku tak tahulah. Apabila Tok Medah duduk, semua diam tunggu sapa akan dipanggil dulu untuk baca di depannya. Memang dia ajar sungguh-sungguh, selagi baca tak betul, tak boleh balik atau kena balik last sekali. Jenuhh.... sampai keluar air mata laaa, nak boleh 'lepas' balik...::
Hinggalah suatu hari, dia bercerita pasal buah mangga! ceritanya begini.....

Halim memiliki sebidang tanah dan bercadang untuk menanam pokok mangga untuk tujuan nak jual di pasar malam. Lalu dia pun ke tempat benih pokok rakan baiknya, Osman untuk mendapatkan anak benih mangga yang bagus.
Mendengarkan hasrat Halim, Osman pun mengesyorkan satu anak benih yang diketahuinya menghasilkan buah mangga yang mempunyai isi yang sangat manis. Halim yang teruja, terus membeli anak benih pokok mangga tersebut.


Setelah tiba masanya, pokok mangga Halim pun mengeluarkan buah dengan sangat lebat. Halim bersyukur dan dia bercadang umtuk menjualnya kepada Daud yang berniaga di NAT (pasar tani lahh tuu.. ;)  Daud bersetuju untuk menjual buah mangga itu apabila Halim memberitahu tentang isinya yang manis. Dia melonggokkan buah-buah mangga itu berserta sebuah tanda yang bertulis "buah mangga manis".

Melihatkan tanda di gerai Daud, Pora yang menggemari buah mangga itu terus sahaja membeli beberapa biji. Setibanya di rumah, Pora memotong buah mangga itu dan berasa amat marah apabila mendapati mangga yang dibelinya berasa kelat dan tidak manis seperti yang dinyatakan. Pora bergegas ke pasar tani membawa buah yang dibelinya dan memarahi Daud kerana telah menipu.

Daud yang geram apabila dimarahi Poa terus besoknya mencari Halim dan menyalahkannya kerana menyatakan buah mangga dari pokoknya itu manis sedangkan tidak. Halim pula mendapatkan Osman dan memberitahu bahawa anak benih mangga yang dibelinya dari Osman itu tidaklah menghasilkan buah yang manis seperti yang dinyatakan. Osman hanya terdiam kerana dia sendiri sudah lupa hal itu.

Persoalannya, siapakah yang perlu dipersalahkan dalam hal ini? Osman, kerana dia menjual anak benih atau Halim yang menanam pokok mangga tersebut? 

Jawapannya, tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Semua yang berlaku itu diluar kemampuan Daud, Halim mahupun Osman. Semuanya terjadi dengan izin dan upaya Allah.

Begitu juga keadaannya dengan kita. Jika sesuatu yang tidak diingini menimpa diri kita, keluarga kita atau orang yang tersayang, janganlah kita cepat-cepat untuk mencari siapa yang perlu dipersalahkan atau siapa yang bertanggungjawab. 

Apa yang terjadi itu semuanya atas kehendak dan kemampuan Allah. Mereka yang kita persalahkan itu, tiadalah daya mereka untuk mengetahui perkara buruk yang tak diingini itu akan terjadi. Jika mereka tahu, pasti mereka juga akan berusaha untuk mengelakkannya daripada terjadi.

Janganlah kerana perkara yang tak kita inginkan itu terjadi disebabkan perbuatan mulut atau tangan orang tertentu membuatkan kita menaruh rasa benci, dendam dan bermusuhan dengan mereka. Apa yang berlaku itu pastilah dengan kehendak Allah dan menyalahkan orang lain sama seperti tidak redha dengan ketentuan Allah.


لا حول ولاقوة إلا بالله


Laa hawla wala quwwata illa billah
Tiada daya dan upaya selain Allah

Inilah yang sering berlaku hari ini..... moga kita lebih bersikap bertolak ansur dan berprasangka positif dengan setiap apa yang sedang berlaku. Ini kerana setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Moga "mangga" di dalam diri kita sentiasa berbuah harum dan mengharumkan orang disekeliling kita.


"Masa DAH Time"
:)

1 comment: